12

IPOH : Penyertaan ahli Majlis Perundingan Pemimpin Muda Amanjaya (MP2MPA) dalam Pangkor Dialogue 2016 yang diadakan di Pusat Convention Amanjaya diharapkan dapat memberi pendedahan kepada perbincangan yang bertaraf dunia. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, penyertaan MP2MPA itu yang menjadi peserta kepada Pangkor Dialogue itu menunjukkan bahawa kerajaan negeri sangat mengiktiraf MP2MPA sebagai kumpulan pemikir untuk belia di Perak. “Oleh itu, kita bawa MP2MPA ke dalam Pangkor Dialogue dan semua ahli-ahli akan menjadi peserta untuk dua hari akan datang.
“Kita harap dengan penyertaan mereka ini dapat memberi pendedahan kepada perbincangan-perbincangan bertaraf dunia sesuai dengan tema Pangkor Dialogue 2016 iaitu ‘Building Resilience For Inclusive & Sustainable Future’,”katanya ketika ditemui hari ini. Shahrul Zaman turut berkata, berikutan itu, beliau turut mencadangkan agar tema MP2MPA hari ini dapat dikaitkan dengan Pangkor Dialogue iaitu dengan tema ‘Building Resilience For Inclusive & Sustainable Future For Perak Youth’. Beliau turut mengharapkan ahli MP2MPA dapat membincangkan usul-usul yang relevan dan menyentuh fikiran dan minda dalam menempuh cabaran sebelum diusulkan dalam Sidang Dewan Belia akan datang. Shahrul berkata, ahli MP2MPA turut mendengar ucaptama dari pemenang hadiah Nobel dari Bangladesh, Profesor Muhammad Yunus, pagi tadi. Selain itu, turut diadakan ialah sesi dialog dengan tiga usahawan yang berjaya. “Saya harap, para ahli majlis mendapat satu input dan juga menajamkan fikiran masing-masing untuk mereka meneruskan sesi perundingan,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *