IPOH: Perjalanan program bagi hari pertama pra-pembukaan Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (Pangkor Dialogue) 2016 menampakkan tiga agenda utama yang sekaligus menyentuh tema utama bagi acara berperingkat antarabangsa itu. Sejak pembukaannya tiga tahun lepas, dialog tersebut telah menghimpunkan ribuan cendekiawan dan pemain industri serta individu dari pelbagai latar belakang dan negara.Tahun ini, 25 negara terlibat dalam perbincangan melibatkan tema utama dialog tersebut iaitu kepentingan mengukuhkan tahap kecekalan dalam memastikan masa depan yang mampan dan inklusif.
Antara agenda utama adalah pelancaran Pelan Tindakan Strategik Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) 2016 – 2020 sebagai garis panduan untuk memperkasakan badan-badan berkenaan di negeri ini.Perak, muncul sebagai negeri pertama yang mengambil inisiatif tersebut dan setelah melalui pelbagai fasa penapisan serta perangkaan, sembilan bidang fokus tersebut, akhirnya ia dirasmikan pada hari pertama Pangkor Dialogue oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sempena di Casuarina@Meru di sini pada Ahad. Dr Zambry berkata, pelan itu dihasilkan melalui perbincangan dengan pelbagai NGO di negeri Perak sejak beberapa bulan lepas.
“Ini adalah merupakan salah satu usaha strategik yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri Perak bagi memastikan masyarakat sivil yang ada dalam negeri ini dapat berada dalam satu platform bersama dan memberikan tumpuan ke arah pembangunan negeri kita seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.Dr Zambry memberitahu, sehingga April 2016, terdapat 5,723 NGO direkodkan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Perak dan daripada jumlah berkenaan 4,814 diklasifikasikan sebagai aktif. Dengan adanya pelan tindakan strategi itu, Dr Zambry berharap, NGO di negeri ini dapat membantu memberi fokus kepada sembilan perkara itu, yang beliau sifatkan sebagai komprehensif dan melibatkan semua kumpulan masyarakat.

Belia

Pembukaan tirai dialog yang dijangka menghimpunkan lebih daripada 5,000 pengunjung dan penceramah ini juga tidak melupakan golongan belia yang menjadi tunjang utama bagi pembangunan sesebuah kehidupan berkomuniti.
Kerancakan Pangkor Dialogue itu dapat dilihat melalui kunjungan lebih 1,000 belia yang hadir daripada pelbagai institusi pengajian dan kolej dari seluruh Malaysia.Kebanyakan mereka berasa teruja dengan program SEHATI, yang diadakan julung kali oleh Malaysian Global Innovation and Creativity Centre ( MaGIC).
Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Datuk Ghazi berkata, beliau yakin mentaliti untuk membantu pembangunan sosial serta membangunkan komuniti yang miskin perlu dicerna pada usia muda. “Di sebalik agenda kita untuk menyuntik semangat keusahawanan di kalangan beliau, kita juga berharap ia boleh mengasah kemahiran keusahawanan sosial sekaligus mengatasi masalah kemiskinan dan persekitaran di Malaysia,” katanya. Antara inisiatif murni oleh Pangkor Dialogue adalah pemerkasaan generasi muda yang terlibat dalam pelbagai program seperti dalam majlis motivasi, perniagaan terak makanan dan sebagainya. “Kita yang sudah tua menyediakan peluang kepada penglibatan golongan muda seperti dalam majlis ini bagi mempersiapkan masa depan mereka kerana suatu masa nanti mereka akan mewarisi kepimpinan dalam banyak aspek,” ujarnya.
Perkara itu ditegaskan Dr Zambry berucap secara santai kepada peserta kebanyakan terdiri golongan muda pada sesi Building Resilience for Conclusive & Sustainabale Future di Casuarina@Meru, Ipoh pada Ahad. Selain itu, Menteri Besar turut memuji usaha Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) yang tidak melepaskan eluang untuk mengetengahkan barisan penceramah berkaliber dalam Persidangan Kedua Majlis Perundingan Pemuda Perak Amanjaya di dalam salah satu “satellite event” di Ruang Dewan 1.  Antara barisan penceramah adalah Adeline Foo dari TOC College dan Mr Adnan Lee daripada MBG Fruit Sdn Bhd yang menggariskan beberapa panduan kepada belia untuk melatih kemahiran diri berhadapan dengan saingan dan cabaran pekerjaan di dalam dunia pada hari ini.
Dr Zambry turut meluangkan masa beliau meninjau aktiviti serta perkembangan di luar dewan persidangan khusus “laman seni” yang membabitkan penyertaan golongan muda seperti perniagaan food truck. Beliau mengingatkan golongan muda agar tidak membenarkan fikiran negatif mempengaruhi pemikiran mereka malah memuji sikap belia-belia di Perak yang mempamerkan keupayaan yang luar biasa di dalam pelbagai bidang termasuklah bidang kulinari.
Sebagai contoh, katanya, penglibatan golongan muda dalam perniagaan makanan dengan mengguna pakai konsep “food truck” berjaya menjadikan bandaraya Ipoh sebagai bandar hipster di mana konsep sama gagal dilihat di negeri-negeri lain. Dalam sesi walkabout pada petang hari pertama dialog itu, Dr Zambry juga sempat beramah mesra dengan kesemua pemilik booth yang terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan, korporat, GLCs, institusi pengajian serta kumpulan pemuzik belia.

Sumber: Suara Perak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *