8 Kumpulan sasaran Belia

8 kumpulan sasaran belia terdiri daripada belia yang berumur di antara 15 – 30 tahun. Mereka ini dikategorikan kepada 3 peringkat umur (belia awal , belia pertengahan dan belia akhir) bertujuan untuk meningkatkan capaian  pelaksanaan program pembangunan belia kepada golongan sasaran yang lebih terkhusus. 8 kumpulan sasaran belia ini adalah seperti berikut:

 

Belia Bersekolah
Belia yang menuntut di peringkat menengah merangkumi antara lainnya sekolah menengah, sekolah kluster kecemerlangan, sekolah berprestasi tinggi, sekolah amanah, sekolah berasrama penuh, sekolah agama, sekolah sukan, sekolah seni, sekolah teknik dan vokasional, pendidikan khas, pendidikan swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah pondok.

Belia Pengajian Tinggi
Belia yang menyambung pelajaran di peringkat pengajian tinggi merangkumi antara lainnya universiti awam atau swasta, institusi latihan kemahiran awam atau swasta, politeknik, kolej komuniti dan kursus profesional.

Belia Berkerjaya
Belia yang bekerja dalam pelbagai lapangan merangkumi antara lainnya kumpulan profesional awam dan swasta, kumpulan bukan profesional awam dan swasta, tenaga kerja NGO, anggota badan beruniform, usahawan, ahli sukan dan ahli seni.

Perkumpulan Belia
Terbahagi kepada 2 kategori, iaitu:
a) Belia Berpersatuan - belia yang menjadi ahli dalam pertubuhan yang berdaftar di bawah manamana perundangan negara dan
b) Kumpulan Berdasarkan Minat Khusus (Special Interest Group, SIG) - belia yang berkumpul dan melaksanakan aktiviti dalam ruang minat yang sama tanpa berdaftar di bawah mana-mana perundangan negara

Belia Massa
Merangkumi antara lainnya belia bandar, belia luar bandar, belia kaum utama, ikon belia, keluarga muda dan ibu bapa muda.

Belia Malaysia Antarabangsa
Merangkumi belia yang sedang bekerja dan belajar di luar negara dan belia yang pernah bekerja dan belajar di luar negara.

Belia Minoriti dan Golongan Terpinggir
Terbahagi kepada 2 kategori, iaitu:
a) Belia Minoriti - antara lainnya Orang Asli, kaum minoriti dan Orang Kurang Upaya (OKU); dan
b) Golongan Terpinggir - anak yatim, miskin atau berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan (B40), gelandangan, ibu atau bapa tunggal dan ibu bapa bawah umur.

Belia Berisiko
Belia yang tergolong antara lainnya sebagai pesakit muda, bakal pesakit muda, tercicir daripada sistem persekolahan, tidak berkerjaya, mangsa dera, bekas banduan, banduan, anak banduan, muflis, bakal muflis, bekas muflis, perokok, peminum arak, penagih dadah, bekas penagih dadah, pelumba haram, kecelaruan identiti, penyeludup dan belia di sempadan.