Y.A.B. Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir

BIODATA

ZAMBRY ABD KADIR dilahirkan pada tanggal 22 Mac 1962 di Pulau Pangkor, sebuah pulau nelayan di negeri Perak. Beliau telah dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang ke 11 pada 6hb Februari 2009. Berkahwin dengan Datin Seri DiRaja Saripah Zulkifli pada 1hb Nov 1987, pasangan tersebut dikurniakan dengan lima orang cahayamata – Husna, Huda, Syifa, Munir dan Mukhlis.

Beliau telah dianugerahkan beberapa darjah kebesaran demi sumbangan dan perkhidmatannya kepada negeri dan negara. Antaranya DARJAH KEBESARAN SERI PADUKA SULTAN AZLAN SHAH PERAK YANG AMAT DIMULIA (S.P.S.A.) yang membawa  gelaran “Dato’ Seri  DiRaja“.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada penerima bintang SERI PADUKA MAHKOTA PERAK (S.P.M.P.) yang dianugerahkan hanya kepada 50 orang pada sesuatu ketika kerana jasa dan khidmat terbilang yang disumbangkan kepada Negeri Perak, DARJAH GEMILANG SERI MELAKA (D.G.S.M.) daripada Negeri Melaka,  DATO’ PADUKA MAHKOTA PERAK (D.P.M.P. )  dan darjah kebesaran AHLI MAHKOTA SELANGOR daripada Negeri Selangor.

Pada tahun 2012, beliau telah menerima anugerah TUAN PADUKA SUTTAN JAYANEGARA, anugerah kebesaran  tertinggi Provinsi Lampung, Indonesia yang disampaikan sendiri oleh Gabenor Provinsi Lampung.

PENDIDIKAN

Dr. Zambry mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan dan Menengah di Pulau Pangkor sebelum meneruskan pengajian peringkat Menengah atas di Sekolah Menengah Bukit Gantang, Parit Buntar yang terletak di tanah besar.

Beliau memegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pemikiran Politik daripada Universiti Temple, Amerika Syarikat (1995) dengan pengkhususan dalam bidang Politik Kontemporari selepas menamatkan ijazah peringkat Sarjana dengan pengkhususan dalam bidang Falsafah Politik Dan Perbandingan Agama di universiti  yang sama (1992).

Menteri Besar Perak yang ke 11 ini juga mempunyai Ijazah Sarjana  (kepujian) dalam pengkhususan Pemikiran Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1991, selepas menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Ekonomi di universiti itu dengan pengkhususan Ekonomi, Pembangunan Ekonomi dan Ekonomi Antarabangsa. Baru-baru ini beliau turut mengikuti Program Eksekutif  Pembangunan Kepimpinan bertajuk “Leaders in Development – Managing Change in a Dynamic World”, selama dua minggu di Universiti Harvard, USA (Jun 2015).

PENGALAMAN PROFESIONAL DAN BIDANG KEPAKARAN

Dr. Zambry merupakan seorang yang disegani dalam dunia akademia kerana kepakaran beliau dalam bidang ekonomi dan politik, pemikiran politik, politik kontemporari di Asia Tenggara dan  pemikiran politik Malaysia.

Beliau juga merupakan pentadbir yang berpengalaman luas termasuk pengalaman sebagai pengurus dan pentadbir di peringkat universiti, badan pemikir, organisasi pemberi khidmat nasihat dan pejabat politik.

Pengalaman lain termasuk sebagai pembantu Professor di Jabatan Sains Politik (UIAM) sehingga Ogos 2000, pengarah eksekutif Centre for Leadership & Development Studies (CELDES) daripada 1996 hingga Ogos 2000, ketua Pembangunan Kurikulum Dan Islamisasi  di Jabatan Sains Politik UIAM pada  tahun 1999, ketua panel konsultansi, program Khidmat Sosial Negara, Kementerian Belia dan Sukan (1997) serta Ahli Perunding, Agenda Melayu Abad ke 21 (1998). Beliau juga merupakan pengerusi konferensi Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat pada tahun 1994,  pengarah Pertemuan Intelektual Asia Tenggara (SEAM) di Amerika Syarikat pada tahun 1994, Presiden Persatuan Pelajar Islam Malaysia di Amerika Syarikat(1994-1995), Pengarah Diskusi Intelektual UIA-IIIT untuk kakitangan UIA di Amerika (1993), coordinator kursus bagi Pusat Matrikulasi UIA (1988-1989), Ahli Jawatankuasa Rayuan (MATRIC)  bagi tahun 1989 – 1990, Fellow bagi Kolej Pelajar (1993-1994), Ahli Diskusi Intelektual, Institut Perkembangan Minda (INMIND) tahun 1995, konsultan bagi program kepimpinan pelajar Malaysia di Amerika dan menjadi tamu intelek bagi program yang dianjurkan oleh Kerajaan Jepun (2002).

Adjung Professor di Jabatan Sains Politik, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkuatkuasa pada 1 November 2015 hingga 31 Oktober 2017.

POLITIK

Dr. Zambry bergiat aktif dalam bidang politik sejurus setelah kembali daripada Amerika Syarikat pada tahun 1995.

Perjalanan politik beliau bermula sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Pangkor sebelum dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lumut. Beliau kemudiannya memenangi kerusi EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (2000-2003) sebelum dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak.

Pada tahun 2004, beliau telah bertanding dalam pilihanraya umum bagi kerusi DUN Pangkor and  berjaya mempertahankan kerusi tersebut dalam PRU 2008 dan 2013. Beliau kini menyandang tanggungjawab sebagai  ADUN Pangkor untuk penggal ketiga dan memegang tampuk pemerintahan Negeri Perak sebagai YAB Menteri Besar untuk penggal kedua.

Dr. Zambry juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak dan Ketua UMNO Bahagian Lumut. Namun perjalanan politik beliau bukanlah semudah yang disangkakan malah beliau pernah ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pada tahun 1998.

ANUGERAH

Dr. Zambry telah menerima pelbagai anugerah diatas jasa beliau di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Diantaranya adalah Anugerah Khas Global Islamic Finance Awards 2014 (GIFA 2014)  di Dubai, UAE pada Oktober 27, 2014. Anugerah tersebut diberikan atas komitment dankejayaan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan tanggungjawab sosial Islam di Negeri Perak. Anugerah GIFA merupakan pengiktirafan kepada tokoh dan organisasi atas kejayaan dan amalan terbaik dalam sektor Kewangan Islam.

Beliau turut diberikan anugerah The Crane Summit Supreme Honour Crown Medallion Award oleh Akademi Kesenian dan kebudayaan Dunia (WACC) sempena Kongres Penyair Sedunia (WCP) ke-33 di Pulau Pangkor pada  22 Oktober 2013 kerana penglibatannya dalam bidang sastera.

Sehingga hari ini, hanya tiga pemimpin negara lain yang menerima anugerah tersebut. Mereka adalah Presiden India Dr Abdul Kalam (2006), bekas Presiden Slovakia, Dr. Michael Kovac (2008) dan bekas Presiden Republic Czwch (2009).

WAAC juga telah menganugerahkan “Doctorate of Literature” kepada Dr. Zambry di majlis yang sama.

Pada tahun 2010, Dr. Zambry telah menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang Sains Perikanan kerana aspirasi dan komitmen beliau sebagai anak nelayan tradisional yang berjaya.

Pengiktirafan lain yang diterima oleh Dr. Zambry termasuk Geran Penyelidikan Temple Universiti (1993), Anugerah WAMY sempena majlis Penyampaian Ijazah UIA (1987) , Anugerah Kebangsaan (tempat pertama) bagi kategori Penulisan Agama (1982) dan Anugerah Negeri (tempat pertama) bagi Karangan Hari Kebangsaan (1982).

Sebagai anak Pangkor yang dibesarkan berdekataan dengan Pengkalan Tentera Laut, Dr. Zambry mempunyai hubungan yang istimewa dengan Tentera Laut. Sebagai tanda hubungan baik itu, Kementerian Pertahanan Malaysia telah menganugerahkan Laksamana Pertaman (kehormat) kepada beliau pada tahun 2010.

Sebelum itu, pada tahun 2005, KDYYM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong telah berkenan untuk menganugerahkan Komander (Kehormat) TLDM. Beliau merupakan antara yang pertama dikalangan ahli politik di Malaysia untuk menerima anugerah tersebut.

Pada 4hb Disember 2014, KDYYM Seri Paduka Baginda Yang DiPertua Agong XIV telah berkenan menganugerahkan pingat Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada beliau. Pingat tersebut merupakan anugerah ke-tiga tertinggi di dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Dilantik sebagai Yang DiPertua Negeri Perak, Majlis St. John Ambulans Malaysia mulai 12 Mac 2014 hingga 11 Mac 2017.

Dr. Zambry juga telah menerima Anugerah Gavel Kehormat daripada  Executive Committee of Crane Summit 21st Century International Forum di Kongres Penyair Sedunia ke-35 yang telah diadakan di Hualien, Taiwan, Republik China., pada 6hb November 2015. Anugerah tersebut merupakan penghargaan tertinggi kepada individu kerana sumbangannya dalam bidang kesusasteraan antarabangsa. Anugerah tersebut juga diberikan atas jasa dan sumbangan Kerajaan Negeri menjadi penganjur Kongres Penyair Sedunia (WCP) ke-33 di Pangkor pada Oktober 2013.  Ini merupakan augerah kedua yang diterimanya selepas anugerah The Crane Summit Supreme Honour Crown Medallion Award daripada Akademi Kesenian dan Kebudayaan Dunia (WACC) pada tahun 2013.

Pada tahun yang sama, beliau turut diangkat sebagai Duta Keamanan (Ambassador for Peace) oleh Universal Peace Federation di atas usaha beliau memperjuangkan nilai moral yang universal, kerjasama antara agama, keharmonian sejagat serta budaya mencintai keamanan tanpa mengira bangsa, agama dan budaya.

Manakala Dewan Persekutuan Majlis Kerjasama Teluk (FGCCC) dan Pertubuhan Kemajuan Kepimpinan Amerika (ALDA) pula telah memberi pengiktirafan kepada Kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan Dr. Zambry sebagai negeri terbaik untuk pelaburan antarabangsa dalam majlis Anugerah Kepimpinan Perniagaan Asia Barat ke-6 pada bulan November  2015 di Dubai.

Pada 16 Februari 2016, Prof Abul Hasan M. Sadeq, Naib Canselor Asian University of Bangladesh telah menyampaikan Anugerah Khas kepada Dr. Zambry di atas usaha beliau menangani kemiskinan di negeri Perak. Award of Meritorius Distinction for Leadership in Eradicating Poverty ini diberikan atas tokoh kepimpinan beliau melaksanakan initiatif melalui Yayasan Bina Upaya (YBU).

PENULISAN

Sebagai seorang ahli akademik, Dr. Zambry banyak menghabiskan masa beliau sebagai seorang penulis sejak bergelar seorang pelajar. Beliau menulis puisi, karangan dan pelbagai artikel di dalam media tempatan dan antarabangsa.

Beliau telah menulis beratus-ratus artikel dalam  Utusan Malaysia, Berita Harian, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dakwah, Risalah, Al-Islam, Mastika, dan PEMIKIR, disamping pelbagai buku.

Di antara buku hasil pena beliau bertajuk UMNO dan Jiwa Merdeka (CELDES KL 1998), Pemuda UMNO Menebus Maruah, Menuju Arah (Mei, 2000) dan Islam Malaysia & Amerika. Puisi beliau kini terdapat di dalam kompilasi antologi bertajuk Suara Pelaut.

Beliau turut menghasilkan beberapa kertas akademik dalam majalah dan jurnal. Antaranya bertajuk Politics In Malaysia, A Changing Scenario (2000), Belia dan Cabaran Politik Pascakolonial (1999), Festival Islam Organisasi Islam di Malaysia (Encyclopedia of Malaysiana, 1998), Politik Malaysia dan Pasca-Modernisme (kertas kerja untuk Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998) dan Peranan dan Cabaran Ulama’ Dalam Era Pasca-Modernisme (kertas kerja untuk ‘The Asian Renaissance’ di Pekan Baru, Riau, 1997).

Beliau juga merupakan pengarang kepada beberapa penerbitan termasuk Pendidikan dan Pembangunan untuk Nurin Enterprise, K.L (1980),  Business Administration in Islam, Hizbi (1991), dan Memperkasa Kepimpinan Merentgas Masa Depan, CELDES, KL (1991).

Beliau turut memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang Imbas Gemilang KBS 1998,  sebuah penerbitan Kementerian Belia dan Sukan.

Selain menjadi penyunting dan penulis, Dr. Zambry juga merupakan penterjemah yang disegani. Di antaranya termasuk karya yang bertajuk Faces of Islam (Berita Publishing, 1990), Qur’anic Sciences (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991) dan Islamic Legal Philosophy (Dewan Bahasa dan Pustaka, Oktober, 2000).

Meskipun mempunyai jadual waktu yang ketat, Dr. Zambry tidak pernah melupakan minatnya terhadap buku. Beliau sentiasa meluangkan masa yang ada untuk membaca beberapa buku sekaligus. Antara pilihan beliau yang terbaru adalah karya yang bertajuk Too Many Bosses Too Few Leaders oleh Rajeev Peshawaria, Focus: The Hidden Driver of Excellence oleh Daniel Goleman, dan Political Philosophy: A Historical Introduction tulisan Michael J. White.